Ciri-ciri Khusus Islam


CIRI-CIRI KHUSUS ISLAM:
=rabbaniyyah
=syumuliyyah
=inqilabiyyah
='alamiyyah
=waqi'iyyah
=thabat wa murunah


1. RABBANIYYAH (KETUHANAN)

Ianya membawa erti bahawa Islam ini datangnya daripada Allah yang bersifat Rab. Manusia hanya sebagai pelaksana kepada segala ketentuan yang telah ditetapkan. Seseorang itu disebut rabbani apabila mempunyai hubungan dengan Allah. Ciri Rabbaniyyah ini akan melahirkan mukmin bersifat Rabbani iaitu beriltizam dengan Islam dari segi iktikad, pemikiran, cita-cita, percakapan, dan perbuatan. Sudut Rabbani terbahagi kepada dua bahagian iaitu :

Rabbani dari sudut matlamat dan tujuan:
Ia bererti Islam menjadikan hubungan yang baik dengan Allah, pengabdian kepada Allah dan mendapat keredhaanNya sebagai matlamat terakhir kehidupan. Inilah matlamat hidup insan di dunia ini. Kesemua ajaran Islam yang baik yang bersangkutan dengan aqidah, muamalat, akhlak dan lain-lainnya adalah bertujuan untuk menyiapkan manusia supaya menjadi hamba kepada Allah semata-mata.

Kesan Rabbaniyah terhadap Jiwa Manusia:
» Mengetahui matlamat hidup manusia di dunia.
» Mengenal fitrah.
» Selamat dari pertentangan dengan diri sendiri.
» Bebas dari perhambaan sifat ananiah dan runtuhan hawa nafsu.

Rabbani dari manhaj dan sumber:
Rabbani dari sudut manhaj membawa erti manhaj ini adalah Rabbani kerana ia bersumberkan dari wahyu Allah kepada Muhammad s.a.w. . Sumber ajaran Islam ialah Allah yang mensyariatkan hukum dan cara pelaksanannya. Oleh itu Islam ialah wahyu Allah kepada Nabi Muhammad. Sumber Rabbani juga merupakan asas pembentukan dan perkembangan individu dan masyarakat.

Kesan Sumber dan Manhaj Rabbani:
» Islam terhindar dari segala bentuk kekurangan
» Terhindar dari pengaruh kekayaan
» Islam sesuai untuk manusia
» Mendapat penghormatan dan kehormatan.


2. SYUMULIYYAH

Ia bererti ajaran Islam lengkap dan menyeluruh. Ruang lingkup ajaran Islam adalah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia tanpa terkecuali dari sekecil-kecil urusan sampailah kepada sebesar-besar perkara.

Sudut kesyumulan Islam :

1) Undang-undang

Islam telah mengemukakan undang-undang kepada manusia untuk mengatur hubungan sesama manusia. Islam telah menjelaskan hukuman-hukuman terhadap mereka melanggar hukuman sama ada yang berkait rapat dengan sivil atau jenayah seperti hukuman hudud dan qisas. Hukum yang bersangkut dengan urusan hubungan sesama manusia dengan Allah seperti solat, haji, puasa dan ibadat lain. Hukum-hukum yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia seperti hukum nikah, muamalah, kehakiman, hukum berkait dengan orang bukan Islam, hukum antarabangsa, hukum berkait dengan pemerintahan negara, harta dan hukuman denda kepada pesalah yang melakukan kesalahan.

2) Keadilan

Islam telah memperjuangkan keadilan. Keadilan dalam Islam adalah memberikan hak kepada yang berhak tanpa sebarang kekurangan. Keadilan adalah wajib diberikan kepada semua insan baik muslim, ahli keluarga atau bukan ahli keluarga.

3) Kehakiman

Islam telah mengemukakan sistem kehakiman. Ini bermaksud bahawa Islam menentukan di dalam perhubungan permasalahan sesama manusia amat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang berhak. Islam telah menetapkan bahawa kehakiman merupakan fardhu dimana setiap hakim muslim mestilah menjatuhkan hukuman mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah.

4) Negara

Dalam soal bernegara, Islam telah menjelaskan soal hukum-hakam berkenaan persoalan negara.Islam bukanlah teratas dalam lingkungan hubungan manusia dengan Allah sahaja, malah menyusun hubungan manusia sesama manusia dan hubungan jamaah dengan jamaah yang lain.
Ketua negara dipilih dikalangan orang Islam sesuai dengan syariat-syariat seperti sifat Quwwah dan amanah. Peranan ketua negara Islam ialah melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya.

5) Akhlak

Islam amat mengambil berat soal akhlak. Pengambilan berat Islam terhadap akhlak jelas dengan apa yang digariskan oleh al-Quran tentang sifat-sifat dan akhlak yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman.

6) Ilmu

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah makrifat dan mengenali hakikat sesuatu dengan tepat dan mengetahui sesuatu yang diturunkan oleh Allah, mengetahui tujuan manusia diwujudkan oleh Allah dan kehidupan akhirat yang mengakhiri manusia. Ilmu yang paling tinggi dalam Islam ialah ilmu yang membawa kepada mengenali Allah.


3. INQILABIYYAH

Inqilabiyah yakni tertegaknya Islam dengan runtuhnya jahiliyah. Hal ini memberi kita maksud bahawa maaruf yang perlu dilaksanakan selari dengan mungkar yang mesti dihapuskan, bukan sekadar kita mengajak orang kepada kebaikan dan pada masa yang sama tidak cuba menghapuskan kemungkaran yang semakin bermaharajalela.

Dengan kata lain, inqilabiyah ialah melaksanakan perubahan total iaitu dengan mencabut dan meruntuhkan jahiliyyah serta membangunkan atau menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu. Mesti bersifat tajarrud, iaitu membebaskan diri daripada prinsip lain daripada Islam.

Menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyyah. Islam tidak boleh bercampur dengan Jahiliyyah. Islam juga tidak boleh ditempel-tempelkan. Sebagai contoh kita ingin menegakkan Islam lalu kita menganjurkan banyak aktiviti dan program berunsurkan islam tetapi dalam masa yang sama konsert Jom Heboh, kedai bar minuman keras, disko dan lain-lain lagi tempat bertentangan dengan syaro’ sama naik maju dengan program dan aktiviti keagamaan. Wajarkah begitu?


4. ALAMIYYAH (UNIVERSAL)

Alamiyyah bermaksud sesuai untuk semua orang dan tempat. Islam sesuai untuk orang Arab, Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain kerana dakwah untuk semua manusia, tidak kira bangsa, warna kulit dan keturunan.. Ia bukan untuk segolongan atau satu bangsa tertentu sahaja. Ia sesuai di semua tempat sama ada di Kutub Selatan, Khatulistiwa dan sebagainya. Dengan kata lain ia sesuai di zaman Rasulullah dan juga sesuai di zaman teknologi moden yang serba canggih ini. Ajarannya sesuai hingga hari kiamat.

Nilai-nilai Islam bersifat sejagat dan menjamin hak asasi manusia. Islam juga meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara


5. WAQI’IYYAH (REALITI)

Islam adalah mengikut suasana dan tempat. Contohnya : Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara penutupannya mengikut tempat dan suasana umat Islam.

Jadi, ia merupakan praktikal bukan utopia, semula jadi atau mampu diamalkan oleh semua manusia. (berpijak di bumi nyata)


6. THABAT WA MURUNAH

Thabat wa Murunah ertinya tetap dan anjal. Tetap dari segi prinsip dan hukum tetapi anjal, boleh berubah dan fleksibel dari segi pelaksanaannya.

Contohnya : Solat adalah wajib dan pelaksanaannya boleh dibuat secara jama’ dan qasar bagi mereka yang bermusafir. Begitu juga ketika sakit, solat boleh dilakukan secara sambil duduk atau berbaring.


7. Ciri-ciri lain….

= Risalah dan jalan penyampaian jelas.
= Bergerak mengikut kemampuan.
= Melaksanakan hazar (waspada).
= Memudah dan jangan menyusahkan.
= Tadrij (beransur-ansur)
= Menimbang kemaslahatan dakwah demi memenuhi tuntutan syariat.


Kata-kata Sayyid Qutb :
"Manhaj ini akan dapat dilaksana jika ianya dipikul oleh sekumpulan manusia yang benar-benar mengimani kebenaran manhaj ini. Mereka beristiqamah dengan manhaj ini menurut kemampuan mereka dan berusaha untuk menerapkannya dalam hati dan kehidupan mereka. Mereka mengorbankan segala-galanyanya demi merealisasikan matlamat ini….. Melawan hawa nafsu dan menentang sesiapa yang dikuasai oleh hawa nafsu…"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

afiq said...

teruskan usaha anda dalam memartabatkan ilmu

fath2din said...

copy eh

About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

"Alhamdulillah.. Islam menjadi milikku, Iman menjadi rebutanku.. kelebihan mungkin ada, kelemahan semestinya wujud, sudah menjadi fitrah seorang manusia.. kemahiran yang dimiliki insya allah akan dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah.. kelebihan, kemahiran nikmat dari Nya.. diberi kepada manusia agar berfikir.. moga2 kita tergolong dalam hamba yang sentiasa bersyukur atas setiap pemberianNya, bersabar atas setiap ujian, berharap hanya padaNya, moga Jannatul Firdaus tempat kembali yang abadi.."