Rambutan Yang Sedap!
Suatu hari, seorang petani bercadang menghadiahi setangkai rambutan terbaik dari kebunnya, kepada seorang pengembala kambing bersebelahan kebunnya.
"Rambutan ini adalah rambutan terbaik dari kebun hamba. Ambillah."
"Alhamdulillah, terima kasih tuan hamba. Hamba akan sampai rambutan ini kepada Tuan Jalak," tungkas si pengembala.
"Tidak. Rambutan ini hadiah hamba untuk tuan hamba, bukan kepada Tuan Jalak."
"Untuk hamba?"
"Ya. Kerana setiap kali hamba memerlukan bantuan mengangkut air ketika musim kemarau, tuan hamba selalu membantu hamba. Kadang-kadang tuan hamba memberi hamba minum. Pemberian ini adalah tanda syukur hamba kepada Allah dengan anugerah tanah yang subur dan ditumbuhkan buahan yang cukup cantik ini, dan semoga tuan hamba sentiasa dipayungi rahmat, insyaAllah."
Saling Menghargai
Si pengembala sangat kagum akan buah rambutan itu, kelihatannya begitu segar dan sedap! Si pengembala ini teringan akan tuannya, iaitu Tuan Jalak, yang selalu memberi peringatan kepadanya agar berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Lalu, si pengembala ini membuat keputusan untuk memberikan rambutan tadi kepada tuannya.
Tuan Jalak sangat berbesar hati menerima pemberian pekerjanya. Kebetulan pada masa itu, isterinya Tuan Jalak sedang demam. Maka Tuan Jalak memberi rambutan tadi kepada isterinya.
"Semoga rambutan ini memberi kegembiraan kepada Dinda," kata Tuan Jalak kepada isterinya.
Begitupun, si isteri ini terfikit untuk memberi rambutan ini kepada pembantu rumahnya yang menjaganya dengan begitu baik sekali sepanjang dia sakit. Pembantu ini merasakan dia tidak layak menerima pemberian itu, lalu diberikan pula kepada tukang masak, yang selama ini memasak makanan yang enak-enak untuk Tuan Jalak sekeluarga, tetapi jarang sekali dia merasa makanannya sendiri.
Si tukang masak amat gembira dengan pemberian itu. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia bertemu dengan jirannya, lalu memberikannya kepada jirannya itu. Fikirnya, tentu jirannya amat menyukai rambutan ini. Walau bagaimanapun, tukang masak ini terkejut, apabila jirannya menangis terharu menerima rambutan tadi.
What you give, you get back!
Rupanya, jiran tukang masak ini ialah si petani di awal cerita tadi. Masakan tidak terharu, apabila dia menerima kembali pemberiannya pagi tadi, tanpa sedikit pun tidak dimakan. Malah masih kekal cantik dan segar. Lantas, si petani ini kembali kepada pegembala tadi.
"Tuan hamba ambil dan makanlah. Memandangkan tuan hamba berseorangan di sini, mudah-mudahan rambutan ini akan menggembirakan tuan hamba." Si pengembala tadi tersenyum bahagia menerima rambutan itu.
Perkongsian iluvislam: Wan Mohd Firdaus
*********
Indahnya bila semua mempunyai nilai dan tahu menghargai dan dihargai.
Mulakan memberi penghargaan kepada orang lain, bukan hanya mengharapkan penghargaan orang lain kepada kita. Hargailah orang di sekeliling kita.
Apply pada ilmu bermakna kita memberi pengetahuan kita kepada orang lain, mengajar mereka apa yang kita ketahui samada ilmu kita, kemahiran kita, atau apa-apa yang bermanfaat. Berilah. Kongsilah. kerana yakinlah kita akan memperoleh lebih dari itu kerana segalanya milik Allah. Sifat ilmu itu, makin diberi makin bertambah. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Insya Allah, orang yang bersyukur dengan pemberian dan anugerah Allah akan menjadikan nikmat itu satu rahmat kepadanya. Mudah-mudahan. Moga kita tergolong dalam golongan hambaNya yang bersyukur.
What you give, you get back!
0 comments:
Post a Comment